Friday, August 21, 2009

RAMADHAN TIUP SEMANGAT LAWAN MUSUH DALAMAN

PEMBUKAAN kota Makkah adalah antara peristiwa besar dalam sejarah Islam yang berlaku pada Ramadan. Peristiwa ini berlaku pada tahun ke-8 hijrah. Pembukaan kota Makkah dilihat sebagai kejayaan penting dalam peribadatan dan perkembangan syiar Islam kerana di sini terletak kiblat bagi orang Islam iaitu Kaabah


Sempena pembukaan kota ini, Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami sudah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata. Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah silapmu yang lalu dan yang terkemudian, dan menyempurnakan nikmat-Nya kepadamu, serta menambahkanmu hidayah ke jalan lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya).

“Dan dengan sebabnya Allah memberikanmu pertolongan (untuk mencapai kejayaan) dengan sepenuh-penuhnya dan sehandal-handal pertolongan (yang tidak ada tolok bandingnya).” (Surah al-Fath, ayat 1 hingga 3).

Peristiwa ini berlaku apabila Bani Bakr dalam naungan Quraish bertindak menyerang Bani Khuzaah dalam naungan Islam pimpinan Rasulullah.

Serangan Bani Bakr dibantu pihak kafir Quraish. Tindakan ini menimbulkan kemarahan orang Islam kerana dengan pertolongan itu, pihak Quraish melanggar perjanjian Hudaibiah yang dipersetujui mereka dengan pihak Islam. Lebih-lebih lagi, serangan itu menyebabkan berpuluh-puluh orang daripada Bani Khuzaah terbunuh. Menurut catatan sejarah, hampir 20 orang terbunuh dalam serangan itu.

Oleh kerana serangan itu dibantu pihak Quraish, maka Amru bin Salim bersama rakannya daripada Bani Khuzaah bergegas ke Madinah untuk memberitahu dan meminta bantuan daripada Rasulullah.

Apabila pihak Quraish mendengar permintaan Bani Khuzaah kepada Rasulullah, mereka begitu menyesal, lalu menghantar Abu Sufian bin Harb bertemu Baginda untuk merayu dan memohon maaf di atas tindakan mereka. Namun, Rasulullah dan sahabat tidak menghiraukannya. Dengan keputusan itu, beliau pulang dengan perasaan hampa dan kecewa ke Makkah.

Oleh kerana perjanjian Hudaibiah dilanggar pihak Quraish, maka Rasulullah menyiapkan Muslimin dengan jumlah mencecah hingga 10,000 orang berangkat ke Makkah. Keberangkatan Rasulullah dan sahabat ke Makkah dijangka oleh pihak Quraish.

Catatan sejarah menjelaskan bahawa sahabat dapat mematahkan cubaan Hatob untuk mengutuskan surat ke Makkah bagi memaklumkan keberangkatan Muslimin.

Apabila Hatob dihadapkan kepada Rasulullah, beliau menjelaskan bahawa tujuan mengutus surat ke Makkah melalui seorang wanita bertujuan memaklumkan kepada keluarganya mengenai keberangkatan Muslimin dan bukan berpaling tadah atau murtad.

Alasan ini diterima Rasulullah kerana beliau adalah salah seorang pejuang di medan Badar yang Allah menjanjikan keampunan.

Setiba Rasulullah di Makkah, orang Islam berjaya memasukinya tanpa tentangan sengit. Walaupun beberapa pertempuran berlaku, ia dapat dipatahkan oleh Khalid Ibn Walid dan sahabat lain.

Apabila Rasulullah memasuki kota itu, Baginda bertindak menghancurkan berhala di sekeliling Kaabah sebagai simbol berakhirnya penyembahan berhala di Makkah. Pihak Islam juga memberi layanan amat baik kepada orang Quraish.

Daripada peristiwa ini, dapat diperhatikan juga beberapa tindakan Rasulullah kepada orang kafir.

Pertama, ketika menandatangani perjanjian Hudaibiah, Rasulullah kuat dan Islam mantap, namun baginda dan pihak Islam tidak mencabuli perjanjian itu, malah menghormatinya. Tetapi, apabila perjanjian itu dicerobohi, maka Rasulullah akan mengambil tindakan terhadap yang melanggarnya.

Tindakan ini melihatkan Islam adalah agama yang menepati perjanjian. Tetapi, pada hari ini kita melihat kuffar menguasai dunia dan kekuatan mereka nyata dengan beberapa siri serangan ke atas negara Islam.

Kedua ialah tindakan Rasulullah memberi kemaafan kepada orang kafir Quraish ketika pembukaan Makkah. Ini adalah langkah tepat bagi menarik mereka kepada ajaran Islam, walaupun sebelum ini mereka menindas, menyeksa dan membunuh orang Islam.

Ini menunjukkan Islam menjaga keamanan sejagat dan tidak memperlakukan musuhnya kerana dendam. Segala tindakan berdasarkan kepada lunas yang digariskan syarak.

Daripada peristiwa ini, jelas bahawa Ramadan bukan bulan yang menyebabkan umat Islam lemah. Sebaliknya, ia bulan yang meniupkan semangat berjuang untuk melawan musuh sama ada berbentuk dalaman seperti memerangi nafsu atau musuh luaran untuk menghancurkan umat Islam melalui pelbagai teknik dan bentuk penghancuran.

Oleh itu, apabila umat Islam berjaya melawan nafsu, maka mereka akan berjaya melawan musuh yang sentiasa mengancam dari luar. Apabila umat Islam sentiasa memusuhi nafsu jahat, maka mereka akan sentiasa melawan musuh yang memadamkan cahaya Allah. Sebaliknya, jika umat Islam tidak mempunyai pertahanan diri kukuh dalam melawan nafsu jahat, maka kebanyakan mereka turut tumbang apabila berhadapan dengan serangan kufar. Inilah pentingnya tarbiah pada Ramadan yang mampu melahirkan umat yang bukan saja dapat menahan diri daripada godaan hawa nafsu, malah melatih diri untuk berhadapan dengan musuh di alam nyata.


p/s: mari kita bersama2 menambah amal ibadah dlm bulan yg mulia nie... melawan nafsu yg paling utama.. nafsu kuat tido.. mls g clas.. mengumpat etc.. bukan bermakna semangat nak buat suma tue masa ramadhan nie je.. kita cb istiqamah okek....????!

1 comment:

aku abid said...

wslm..

syukran shbt sbb ziarah..

blog nta lagi bagus. bnyk info ana dpt

tq 4 da info..:)