Monday, November 2, 2009

Gamis desak terus ‘bongkar’ Laporan Audit Negara

Dipetik dari mahasiswakini.com

KENYATAAN MEDIA GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA (GAMIS) BAGI LAPORAN AUDIT NEGARA 2010

gamis

Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS) mendesak agar pembongkaran hasil Laporan Audit Negara diteruskan dan tidak “disejukkan”. GAMIS memandang, isu ini adalah isu yang serius memandangkan ianya akan memberi kesan kepada pelbagai sektor pembangunan Malaysia hari ini dan akan datang serta ia melibatkan tanggungjawab menguruskan harta rakyat

Baru-baru ini, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa kerajaan telah menubuhkan pasukan petugas peringkat tinggi, diketuai Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan, untuk menyiasat laporan Ketua Audit Negara 2008 dan mengambil tindakan yang sesuai terhadap mereka yang bertanggungjawab bagi penyelewengan kewangan dan salah guna kuasa yang disebut dalam laporan itu.

Isu Laporan Audit Negara 2008 ini menjadi panas seketika apabila Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang membentangkan laporan tersebut pada 19 Oktober lalu di parlimen. Namun, GAMIS memandang, isu ini seolah-olah semakin “sejuk” untuk diambil tahu. Mungkin isu-isu politik semasa lebih “panas” untuk dibincangkan sedangkan isu ini adalah isu besar di Malaysia.

Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan kerajaan mungkin terpaksa menanggung sebahagian besar daripada kerugian berjumlah RM1.14 bilion dalam Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang dan Ipoh. Dalam laporan lain, Ketua Audit Negara turut mengesan tindakan pembekalan alatan kepada badan berkanun Persekutuan pada harga yang ‘tidak masuk akal’.

Selain itu, laporan tersebut menunjukkan bahawa beberapa pembayaran yang mencurigakan telah di buat oleh pihak MARA kepada pembekal mereka untuk barangan yang nilainya jauh melampaui harga pasaran.

Adalah dangkal dan tidak masuk akal apabila mengetahui pihak MARA membelanjakan lebih RM80,000 bagi dua unit laptop (komputer riba) berjenama Acer Aspire 5052 sedangkan harga pasaran hanya RM4,500 sahaja untuk seunit laptop jenis dan spesifikasi tersebut di pasaran awam.

MARA juga membeli komputer meja (desktop) pada harga hampir RM7,600 seunit, sedangkan di pasaran kita boleh mendapati komputer meja yang canggih lengkap dengan perkakasannya dengan harga kurang dari RM2,000.

Laporan Audit Negara 2008 juga turut mendedahkan, Kementerian Pelajaran membelanjakan hampir RM60,000 untuk kerja membekal, menanam dan penyelenggaran taman Sekolah Kebangsaan Bukit Jawa 2, Pasir Putih, Kelantan dari pembekal tempatan secara pembelian terus, dan membayar harga pokok-pokok yang terlalu mahal.

Menurut laporan tersebut, kementerian berkenaan telah membayar sehingga RM4,550 bagi 13 pokok kemboja dan RM9,000 bagi 12 pokok pinang merah, sedangkan pokok kemboja dan pinang merah bagi jumlah yang sama, masing-masing boleh dibeli dengan harga RM585 dan RM1,560.

GAMIS memandang, sekiranya isu ini tidak ditangani secara serius, ianya turut akan merosakkan Bajet 2010 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini.

Pemantauan yang telus perlu dilaksanakan agar rakyat tidak tertipu dengan beberapa janji yang nampak seolah-olah menguntungkan rakyat namun hakikatnya ada individu-individu tertentu yang mengaut keuntungan di atas nama kebajikan kepada rakyat.

GAMIS megalu-alukan pakej ‘netbook’ termasuk perkhidmatan jalur lebar dengan bayaran RM50 sebulan untuk dua tahun kepada mahasiswa. Namun, pemantauan perlu dibuat terhadap siapa yang menerima tender sedemikian? Berapa kos sebenar mengikut harga pasaran?

Ini bukanlah isu percaya atau tidak kepada pihak kerajaan, akan tetapi rakyat menanti-nantikan ketelusan pihak kerajaan agar rakyat tidak tertipu dengan kebajikan yang diambil kesempatan oleh pihak-pihak tertentu. Jika tidak ada masalah, apa yang perlu ditakutkan?

Saya berpandangan, rakyat masih belum lupa isu Laporan Akauntan Negara 2006 yang pernah mendedahkan, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), telah membayar RM224.94 bagi satu set pemutar skru berbanding harga pasaran hanya RM40. Persoalan di sini, siapa yang didakwa setakat ini? Apa Tindakan yang diambil?

GAMIS mengalu-alukan penubuhan pasukan khas peringkat tinggi yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini. Namun, apa yang dinantikan bukan sekadar pasukan khas akan tetapi tindakan susulan agar penyelewengan harta rakyat tidak lagi berlaku. Sudah berapa banyak badan khas yang telah ditubuhkan namun tindakan terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab masih di tahap yang minimum.

Mungkin ada pihak yang gelabah dengan pembongkaran demi pembongkaran peyelewengan hak rakyat. Namun, jangan kita lupa berjuta rakyat yang sedang menangis kerana harta mereka sedang dirompak oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Justeru, semua pihak termasuklah pimpinan dan ahli parlimen yang telah dilantik oleh rakyat mesti mengesat air mata rakyat. Jangan hanya kerana isu EGM dalam PAS, ADUN lompat parti dari PKR dan agenda membumikan 1 Malaysia oleh Barisan Nasional, para “perompak” terus terlepas. Mahasiswa juga tidak hanya harus sekadar dibuai mimpi menanti hasil bajet 2010 terhadap mahasiswa, dalam masa yang sama masalah rakyat diketepikan.

GAMIS berharap, semua pihak harus menjadi pendesak bagi “memanaskan” lagi isu ini agar rakyat terus dibela demi kemakmuran Malaysia yang seharusnya dinikmati oleh semua rakyat. SPRM perlu telus dalam siasatan disamping para pimpinan sama ada Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat tidak boleh menghampakan harapan rakyat yang memilih mereka dalam pilihan raya yang lepas.

Mohd Idris Yussoff

Presiden

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)

No comments: